Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Amir Abd Hamid

MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membuat laporan polis susulan tular memfitnah diri hadir ke ‘parti dadah’ di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur yang diserbu polis pada 12 Januari lalu.

Menurutnya, dakwaan portal bahawa dirinya berada di situ sebelum serbuan polis di sebuah kondominium itu adalah tidak benar.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) itu menerusi kenyataan medianya di Sepang berkata, beliau dimaklumkan mengenai penularan berita yang tidak benar membabitkan dirinya yang diterbitkan oleh Johor Press bertarikh 17 Januari 2020 bertajuk ‘Syed Saddiq Sebenarnya Ada Di Parti Dadah Tapi...’.

Menurutnya, ia menerbitkan berita tidak benar dan memburukkan nama baiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Antara kandungan artikel itu, ‘Menurut satu maklumat yang diterima melalui aplikasi WhatsApp, sebenarnya pada hari kejadian Syed Saddiq turut berada di lokasi yang sama mereka ditahan polis’ dan ‘Nasib menyebelahi Syed Saddiq apabila dikatakan dia sudah pulang lebih awal sebelum serbuan dibuat oleh pihak polis’.

“Maklumat tidak benar ini juga telah ditularkan oleh pihak ketiga. Saya ingin menegaskan bahawa kandungan artikel yang diterbitkan oleh Johor Press itu adalah tidak benar sama sekali.

“Malah, dakwaan bahawa ada cubaan melobi projek besar di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah salah dan menjejaskan imej baik kementerian.

“Sejak saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, saya ingin menekankan bahawa pencapaian KBS dalam Public Service Corruption Ranking (PSCR) yang dikeluarkan oleh SPRM semakin cemerlang.

“KBS berjaya memperbaiki tangga PSCR daripada lapan kementerian paling berisiko rasuah kepada tangga 16 paling kurang risiko rasuah dan salah laku,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan merujuk kepada tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menyebarkan berita tidak benar terutamanya berkaitan integriti KBS.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah gagal dihubungi untuk diminta mengulas mengenai laporan tular itu.

Adhif Syan dinamakan antara 17 individu yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang ADUN Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 berusia 26 hingga 53 tahun ditahan dalam satu operasi, 4.45 petang di kondominium berkenaan.

Hasil siasatan lanjut di kondominium berkenaan, polis turut menemui serbuk dipercayai dadah serta rokok dipercayai berisi ganja serta saringan awal ujian saringan awal air kencing mendapati 16 daripada mereka positif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 2:01 PM