HOSPITAL Pulau Pinang yang dikatakan mencatatkan kes pertama pesakit meninggal dunia akibat koronavirus baharu atau dikenali sebagai Covid-19 di Pulau Pinang yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Mandarin.
HOSPITAL Pulau Pinang yang dikatakan mencatatkan kes pertama pesakit meninggal dunia akibat koronavirus baharu atau dikenali sebagai Covid-19 di Pulau Pinang yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Mandarin.
Nurul Hidayah Bahaudin


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan laporan berkaitan pesakit pertama meninggal dunia akibat koronavirus baru atau Covid-19 di Pulau Pinang seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Mandarin hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit berkenaan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Pulau Pinang disebabkan batuk dan bengkak pada kaki pada Isnin lalu.

“Pesakit itu tidak mempunyai sejarah pergerakan ke China atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan positif Covid-19.

“Selain itu, pesakit berkenaan mempunyai masalah kesihatan kronik lain serta masih diberi rawatan susulan sebelum dimasukkan ke wad dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan keadaan kesihatan semakin merosot.

“Bagaimanapun, pesakit itu disahkan meninggal dunia berpunca daripada ‘Septic shock with multiorgan failure complicated with cardiogenic shock’, semalam,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, sampel klinikal sudah diambil terhadap pesakit itu untuk ujian saringan jangkitan Covid-19.

“Ini kerana pesakit dimasukkan ke ICU dan mempunyai dapatan klinikal penyakit radang paru-paru (pneumonia).

“Sampel klinikal pesakit dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian pengesanan dan pengesahan bagi virus berkenaan, namun keputusan ujian makmal hari ini mengesahkan dia negatif jangkitan Covid-19,” katanya.

Menurut beliau, KKM akan terus memantau perkembangan isu jangkitan Covid-19 dari semasa ke semasa dan menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat rasmi daripada laman web rasmi kementerian.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 9:37 PM