Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Hazsyah Abdul Rahman


MANGSA yang terselamat dalam insiden bot karam di perairan Merabung, Lahad Datu akhirnya buka mulut menceritakan kejadian sebenar.

Long Sahlihi Wahi, 29, berkata, disebabkan terlalu letih, anaknya yang berusia setahun terlepas dari dakapannya selepas dua hari berpaut pada sebuah tong minyak di laut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, lelaki itu memberitahu dia bersama anak perempuannya dalam perjalanan dari Bungao menuju ke Pulau Sibutu, Filipina, 22 Oktober lalu.

Katanya, ia bertujuan menemani anaknya mengikuti satu pesta kanak-kanak di sebuah sekolah di pulau berkenaan.

“Dua beranak itu bersama lima lagi mangsa dewasa menaiki sebuah bot penumpang yang tiba-tiba karam selepas kira-kira sejam menempuh perjalanan di laut.

“Lelaki itu berkata, bahagian hadapan bot dinaiki mereka tiba-tiba menjunam ke laut dan dalam keadaan kelam kabut, dia sempat menarik anaknya sebelum mencapai tong berisi petrol untuk berpaut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, lelaki itu memberitahu selepas hari kedua terapung di laut, dia yang dalam keadaan terlalu lemah mendapati anak yang dipegangnya sudah terlepas dakapannya.

“Pada 24 Oktober lalu, lelaki itu ditemui kapal nelayan yang kemudian menyelamatkannya sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan sebuah bot dinaiki sembilan individu karam menyebabkan seorang lelaki ditemui selamat.

Setakat ini, hanya dua mayat ditemui terapung manakala selebihnya masih gagal dikesan selepas lebih seminggu operasi pencarian dijalankan.

Berdasarkan pengakuan lelaki itu, ia menjadikan jumlah mangsa yang hilang empat orang termasuk seorang kanak-kanak.

Berita berkaitan

Kenapa nak 'kunci mulut'?

Mayat mangsa bot karam ditemui

Bot karam: PPM minta bantuan Filipina

Seorang selamat, seorang maut, tujuh hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 10:06 PM