Shamsul Munir Safini


PEMANDU ambulans swasta, 34, didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini, atas pertuduhan memandu secara tidak cermat sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain, bulan lalu.

Chong Cheok Fai, 34, yang memakai baju T putih berkolar dan berseluar hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Mengikut pertuduhan, Cheok Fai didakwa memandu ambulans secara tidak cermat atau tanpa perhatian munasabah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Song Ban Kheng, Bukit Mertajam, 8.35 pagi 6 September lalu.

Cheok Fai dituduh mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain, manakala Cheok Fai tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM6,000 atau dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar jumlah berkenaan, selain mengarahkan lesen memandu tertuduh direkodkan.

Dalam kejadian 6 September lalu, Cheok Fai yang memandu ambulans dikatakan dalam perjalanan untuk mengambil pesakit, melanggar kereta selepas gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Song Ban Kheng, selain merempuh sekumpulan penunggang motosikal lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 1:58 PM