ARIFFIN (tengah) menunjukkan barang tiruan yang dirampas.
ARIFFIN (tengah) menunjukkan barang tiruan yang dirampas.
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA lelaki termasuk pengarah syarikat dan seorang wanita ditahan dalam serbuan di tiga premis berasingan yang menjual barang tiruan di sebuah pusat beli belah di Jalan Gelugor, di sini, semalam.

Dalam ketiga-tiga serbuan bermula kira-kira jam 12 tengah hari itu, sebanyak 5,755 pewangi, losyen dan mandian tiruan bernilai RM100,046 dirampas oleh 12 pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur bersawa wakil cap dagang.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 23 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Serbuan kedua pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang juga pengurus premis, 36, dan dua pekerja premis masing-masing warga Pakistan serta Indonesia berusia 34 dan 54 tahun.

“Bagi serbuan ketiga, kami menahan seorang lelaki tempatan yang juga pengarah syarikat berusia 43 tahun dan pekerjanya warga Pakistan berusia 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami merampas 5,755 barangan tiruan terdiri pewangi, losyen dan mandian jenama terkenal antarabangsa bernilai RM100,046,” katanya pada sidang media di Stor KPDNHEP Kuala Lumpur di Jalan Segambut Atas, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, satu daripada tiga premis berkenaan pernah diserbu sebelum ini membabitkan kes sama beberapa tahun lalu.

“Modus operandi ketiga-tiga premis berkenaan adalah menjual pewangi, losyen dan mandian tiruan pada harga jauh lebih rendah iaitu antara RM15 hingga RM30 berbanding harga asal mencecah RM100.

“Hasil tangkapan ini, tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019. Lima individu direman selama lima hari, manakala pengarah syarikat berkenaan pula direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 11 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 direkodkan pihaknya pada tahun ini membabitkan 9,406 sitaan berjumlah RM1.8 juta bagi tempoh 1 Januari lalu hingga hari ini.

“Bagi tempoh sama tahun ini juga, kami menahan empat individu warga tempatan dan empat individu warga asing yang terbabit dalam kes berkaitan akta sama.

“KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada pihak atau syarikat yang melanggar undang-undang di bawah akta berkenaan,” katanya.

Keterangan gambar:

1. PENGARAH KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin (tengah) menunjukkan barang tiruan yang dirampas dalam serbuan di tiga premis berasingan di sebuah pusat beli belah di Jalan Gelugor, Kuala Lumpur, semalam, pada sidang media di Stor KPDNHEP di Jalan Segambut Atas, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 6:01 PM