Rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas dalam serbuan di rumah pekerja di FELDA Sahabat, Lahad Datu semalam. Foto Ihsan PDRM
Rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas dalam serbuan di rumah pekerja di FELDA Sahabat, Lahad Datu semalam. Foto Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman

BURUH ladang ditahan polis selepas disyaki terbabit kegiatan penjualan rokok seludup dalam satu serbuan di rumah pekerja di FELDA Sahabat, Lahad Datu semalam.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan bersama 420 kotak rokok seludup pelbagai jenis dalam serbuan pada 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan itu sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba pasukan bertugas memperkenalkan diri sebagai polis kepada suspek terbabit yang juga penghuni rumah.

“Polis memeriksa ruang tamu rumah sambil disaksikan lelaki itu kemudiannya berjaya menemui satu kotak besar warna coklat dan selepas diperiksa didapati ia berisi rokok seludup pelbagai jenama.

“Buruh ladang warga Indonesia berkenaan kemudiannya tahan manakala rokok berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasri berkata, rokok seludup berkenaan dianggarkan bernilai RM6,000 dan siasatan awal mendapatinya untuk dijual di Pasar Lahad Datu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 1:28 PM