WANG tunai dan rokok pelbagai jenama dirampas polis selepas menahan empat suspek di Lahad Datu. FOTO Juwan Riduan.
WANG tunai dan rokok pelbagai jenama dirampas polis selepas menahan empat suspek di Lahad Datu. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


TEMBELANG dua wanita yang juga pengurus dan pembantu pengurus kedai di Desa Kencana, Lahad Datu mendakwa kedai itu dipecah masuk hingga wang tunai RM10,000 dan pelbagai jenama rokok hilang terbongkar selepas siasatan mendapati mereka sebenarnya menyembunyikan wang dan rokok itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menerima aduan daripada pembantu pengurus di kedai itu mendakwa kedai itu dipecah masuk dan beberapa barangan serta wang tunai hilang dipercayai dicuri.

“Wanita itu mengatakan ketika membuka kedai bersama rakan sekerjanya pada 7.10 pagi Ahad lalu, mereka mendapati rokok di dalam rak dan wang tunai dianggarkan RM10,000 di dalam peti besi di dalam bilik pengurus hilang.

“Satu laporan polis dibuat wanita terbabit pada 12.38 tengah hari pada hari sama dan hasil pemeriksaan polis ke atas kedai berkenaan mendapati tiada kesan pecah masuk dan kunci mangga dalam keadaan baik.

“Curiga dengan laporan itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menjalankan siasatan dan menahan pengurus, pembantunya serta seorang pekerja lelaki untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, hasil soal siasat mendedahkan perancang utama kejadian itu adalah pengurus kedai dan pembantu kedai berkenaan.

Beliau berkata, mereka mengakui terdesak kerana mengalami kerugian hasil jualan RM4,000 lalu meminta suami pengurus kedai itu melakukan pecah kedai, sekali gus seolah-olah premis itu dipecah masuk.

“Susulan itu, polis menahan suami pengurus terbabit dan merampas wang tunai RM6,000 serta ratusan kotak rokok pelbagai jenama di sebuah ladang di Kinabatangan.

“Semua suspek berusia 26 hingga 35 tahun ditahan dan polis merampas wang tunai RM8,164 serta 113 kotak rokok pelbagai jenama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 3:40 PM