KEADAAN mangsa ketika ditemui. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN mangsa ketika ditemui. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


LELAKI cedera selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter (m) ketika menguji peralatan luncur udara (paragliding) di kawasan hutan berhampiran Kompleks Sukan Ranau, Ranau, semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, jurupandu lelaki warga tempatan, Didi Alwin, 25, dilaporkan mengalami kecederaan dalaman di bahagian rusuk dada.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.33 petang dan seramai sembilan anggota dikerah ke lokasi berserta satu jentera.

“Pasukan bomba berjalan sejauh satu kilometer dari laluan kenderaan

dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring.

“Mangsa diberi rawatan awal dan diangkat menggunakan pengusung sebelum dibawa menaiki ambulans untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Ranau,” katanya.

Ridwan berkata, mangsa sepatutnya mendarat di kawasan pelepasan Kompleks Sukan Ranau, namun angin kencang menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terjatuh.

“Mujur mangsa tidak terjatuh di kawasan kawasan curam atau berbatu,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba menamatkan operasi jam 4.24 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 8:49 AM