BOMBA ketika melakukan pencarian mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA ketika melakukan pencarian mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


LELAKI warga Indonesia ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir ketika menjalankan kerja menggali kolam ikan sedalam 2.43 meter di Kampung Keligan Kinaratuan di Ranau, semalam.

Mangsa, Junaidi @ Yoannes Yangka, 35, ditemui pasukan bomba pada 5.09 petang selepas dilaporkan hilang oleh rakan sekerjanya, jam 3.30 petang, hari sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.59 petang.

Susulan itu katanya, seramai lapan anggota bomba bersama sebuah jentera serta kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan dengan bantuan penduduk kampung di lokasi terakhir mangsa dilaporkan tergelincir.

“Mangsa kemudiannya ditemui di dasar kolam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan 5.15 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

Namun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Mangsa dipercayai membantu rakannya menggali kolam bertujuan menambah kedalaman dengan menggunakan jentera, namun mangsa tergelincir dan terjatuh lalu tenggelam sebelum gagal dikesan rakannya berikutan keadaan air kolam yang keruh.

“Difahamkan, kolam seluas 0.81 hektar itu digunakan untuk tujuan memancing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:20 AM