LIM Guan Eng.
LIM Guan Eng.
BERNAMA

PROSES memperkasakan pendigitalan adalah antara pendekatan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan sedang memberi tumpuan kepada proses pendigitalan kerana ia adalah satu teknologi masa hadapan yang bukan sahaja harus dikuasai rakyat Malaysia, tetapi sesuatu yang perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian supaya mampu serasi dengan perkembangan terkini dunia.

Menurutnya, dalam aspek ini, Kementerian Kewangan sudah mengumumkan program e-Tunai Rakyat dalam Belanjawan 2020 untuk menggalakkan pembayaran digital secara lebih meluas dalam kalangan rakyat dengan peruntukan sebanyak RM450 juta.

“Setakat ini kita lihat sambutan menggalakkan iaitu sebanyak enam juta permohonan diluluskan setakat semalam yang membabitkan perbelanjaan RM180 juta telah digunakan oleh penerima untuk membeli-belah,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Lim berkata, walaupun kerajaan mengumumkan RM30 bagi setiap orang, tetapi dengan tambahan dan tawaran tambah nilai oleh syarikat pengendali swasta, sebenarnya penerima e-Tunai mendapat sekurang-kurangnya RM60 untuk membeli-belah.

“Namun apa yang lebih penting ialah kita hendak lebih ramai mendaftar dalam platform digital, bukan sahaja rakyat biasa untuk membeli-belah, tetapi peniaga, pedagang dan penjaja kecil.

“Ini penting sekiranya kita mahu terus mampu bersaing, kita perlu ceburi diri dalam platform digital. Itu sesuatu yang wajib dilakukan,” katanya.

Lim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa 16,182 pedagang dan peniaga tambahan sudah mendaftarkan diri dan ini sesuatu perkembangan amat menggalakkan.

Beliau berkata, sudah tentulah, inisiatif e-Tunai Rakyat akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan pedagang tempatan serta akan dapat membantu mencapai matlamat yang disasarkan iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara mempunyai masyarakat dan ekonomi digital maju.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 9:04 PM