NIZAR (tengah) membuat lawatan kerja bersama Invest Perak di DEM DRAEXLMAIER Automotive M Sdn Bhd di Jalan Seramik, Chepor. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
NIZAR (tengah) membuat lawatan kerja bersama Invest Perak di DEM DRAEXLMAIER Automotive M Sdn Bhd di Jalan Seramik, Chepor. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


DUA pelabur termasuk dari China menunjukkan minat untuk mengambil alih taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), di sini, yang ditutup, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, terdapat dua pelabur tempatan dan luar negara sedang menilai pengambilalihan itu.

“Kita tutup sementara agar tidak ada kos operasi berterusan kerana pihak bank juga perlu diberi imbuhan daripada apa yang dipersetujui dahulu. Bagi mengelakkan banyak pertambahan kos, (jadi) diberhentikan sementara.

“(Penutupan MAPS) tidak menjejaskan iklim pelaburan di Perak tetapi ia menyebabkan kita mencari jalan keluar yang lebih menguntungkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja bersama Invest Perak di kilang alat ganti automatif di Chepor, di sini, hari ini.

Mohammad Nizar berkata, kedua-dua pelabur tempatan dan luar negara itu ketika ini masih dalam peringkat kajian serta pertimbangan untuk mengambil alih taman tema terbabit.

Katanya, walaupun ada permohonan mahu menjadikan tempat itu sebagai kasino, namun ianya ditolak.

“Sehingga kini beberapa kaedah sedang dibincangkan oleh kerajaan negeri khususnya Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) selepas penutupan taman tema terbabit.

“Pekerja yang diberhentikan serta-merta akibat penutupan MAPS akan diberikan keadilan yang sewajarnya.

“Lebih 100 pekerja sudah dipindahkan kerja ke tempat lain manakala selebihnya akan dipastikan diberikan pampasan sekurang-sekurangnya tiga bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 4:33 PM