KELIHATAN kenderaan pengunjung MAPS yang tidak mengetahui mengenai penutupannya hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
KELIHATAN kenderaan pengunjung MAPS yang tidak mengetahui mengenai penutupannya hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


PENUTUPAN Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh bermula hari ini mengejutkan pengunjung termasuk mereka yang menunggu bersama keluarga di pintu masuk taman tema itu.

Seorang daripadanya, Yap Beow Soon, 33, yang kecewa apabila tidak dapat membawa keluarganya merasai kemeriahan MAPS yang menghimpunkan watak watak animasi DreamWorks Animation, The Smurfs dan BoBoiBoy.

Katanya, dia hanya mengetahui MAPS tidak lagi beroperasi apabila tiba di sana hari ini.

“Saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan singgah sini (MAPS) namun, terkejut apabila mendapati ia tutup.

“Ia sangat mengecewakan kerana ini pertama kali saya membawa keluarga ke sini tetapi tidak dapat masuk dan semuanya tutup.

“Sayang betul kerana MAPS berpotensi menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan di sekitar MAPS pula mendapati masih ramai pengunjung termasuk dari luar negara yang tidak tahu mengenai penutupan berkenaan.

Rata-rata mereka kecewa kerana penutupan itu tidak dimaklumkan lebih awal.

Sementara itu, Pengerusi Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, penutupan berkenaan atas persetujuan bersama pihak bank dan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Selama ini kita tahu ada masalah berlaku dan pernah berbincang termasuk pihak bank hendak mengambil alih MAPS kerana kegagalan untuk membayar hutang.

“Kita juga maklum ada beberapa kemungkinan, sama ada (MAPS) tutup atau hendak diteruskan operasi atau ada perancangan penstrukturan semula.

“Cuma keputusan muktamad (penutupan) antara Lembaga Pengarah PKNP dan pihak bank,” katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan

MAPS tutup operasi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:27 PM