Amir Abd Hamid

Shah Alam: Pertengahan 1980-an ketika bersama kumpulan Bloodshed, dia dikenali dengan suaranya mengalunkan lagu ‘berhantu’ Srikandi Cintaku dan Samarkand yang segar hingga hari ini.

Siapa sangka Rosdan Baharom, 55, bekas vokalis kumpulan rock legenda itu kini diburu untuk mencipta pula ‘hantu’ dan pelbagai karakter lain di wajah pengunjung yang hadir di taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak.

Menceritakan pembabitannya dalam lukisan wajah, Rosdan yang kini bersama kumpulan metal Punisher berkata, kemahiran itu ditimba ketika dia berhijrah ke Denmark.

 ROSDAN menghasilkan lukisan wajah di taman tema MAPS, Ipoh, Perak.  FOTO Hafiz Sohaimi
ROSDAN menghasilkan lukisan wajah di taman tema MAPS, Ipoh, Perak. FOTO Hafiz Sohaimi

“Pada 1991, saya berhijrah ke Denmark hingga 2001. Pelbagai pekerjaan saya lakukan untuk hidup.

“Pada 1999, saya terbaca iklan di akhbar tempatan mengenai sebuah syarikat yang mencari pelukis muka sambilan untuk melukis wajah kanak-kanak dan orang dewasa.

“Saya hubungi syarikat yang mengiklankan pekerjaan sebelum menjalani proses uji bakat. Saya berjaya dalam temu duga itu dan diberikan dua kelas oleh penemu duga berkenaan, Patrick Leis yang juga antara body painter terbaik di Eropah.

“Kebelakangan ini trend lukisan wajah mula naik. Contohnya di MAPS, saya lihat pengunjung termasuk kanak-kanak yang hendak mekapkan wajah mereka beratur panjang hingga saya dan tiga rakan tidak menang tangan,” katanya yang mendapat tawaran sebagai pelukis wajah di MAPS sejak November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 12:10 PM