MAT Yusop (dua dari kanan) menyampaikan banner keldai akaun kepada pemilik restoran di IPK Negeri Sembilan. FOTO MOHD AMIN JALIL
MAT Yusop (dua dari kanan) menyampaikan banner keldai akaun kepada pemilik restoran di IPK Negeri Sembilan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


SEBANYAK 1,198 kes penipuan membabitkan pinjaman tidak wujud, Macau Scam, panggilan telefon, pembelian dalam talian dan ‘love scam’ dilaporkan di Negeri Sembilan, sepanjang tahun lalu membabitkan kerugian RM16.5 juta.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kebanyakan kes didalangi sindiket tertentu menggunakan keldai akaun iaitu individu membenarkan akaun mereka digunakan bagi tujuan transaksi wang.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, seramai 511 individu ditahan dengan 423 daripadanya dituduh di mahkamah.

“Rekod ini (kes penipuan) menunjukkan peningkatan 8.4 peratus sepanjang tahun lalu jika dibandingkan pada 2018 apabila ia merekodkan 1,105 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM12.6 juta.

“Siasatan mendapati, individu terbabit sanggup dijadikan keldai akaun semata-mata mahu mendapatkan wang dengan cara mudah tanpa menyedari mereka sebenarnya bersubahat dengan sindiket itu.

“Kemungkinan mereka ditawarkan atau menerima bayaran tertentu bagi setiap transaksi sebagai imbuhan kerana membenarkan akaun bank digunakan.

“Namun, ada individu yang tidak tahu akaun mereka digunakan sindiket terbabit,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan ‘Banner’ Keldai Akaun Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di Seremban, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, SAC Che Zakaria Othman.

Mohamad berkata, bagi tempoh sepanjang Januari lalu, seramai 104 individu ditahan membabitkan jenayah penipuan dengan 58 daripadanya dituduh di mahkamah.

Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan kegiatan sindiket terbabit kerana mereka yang terperangkap akan menanggung segala risiko.

“Kami menerusi JSJK melancarkan banner ini sebagai satu kempen kesedaran kepada masyarakat supaya dapat pastikan akaun milik mereka tidak digunakan pihak tertentu atau keldai.

“Kami harap kempen ini akan dapat menyedarkan masyarakat tentang perlunya mereka bertindak proaktif mengenai keselamatan dan menjaga akaun peribadi masing-masing supaya tidak diambil kesempatan oleh pihak keldai,” katanya.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan banner berkenaan kepada pemilik dan pengusaha restoran di Seremban supaya mempamerkannya di premis masing-masing dan cawangan mereka di seluruh negeri, sebagai langkah memberi maklumat serta menyedarkan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 7:03 PM