FAZLISYAM (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan rampasan daripada Macau Scam. FOTO Roslin Tahir
FAZLISYAM (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan rampasan daripada Macau Scam. FOTO Roslin Tahir
Siraj Mohd Zaini


SEORANG lelaki warga Taiwan yang juga dalang beberapa kumpulan sindiket Macau Scam yang aktif di negeri ini berjaya ditahan polis pada 17 Julai lalu.

Penahanan itu susulan laporan polis dibuat seorang doktor di Sungai Buloh yang kerugian RM270,000 selepas ditipu sindiket didalangi lelaki warga asing berusia 26 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, pihaknya turut menahan beberapa suspek berusia 24 hingga 32 tahun yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

“Lelaki Taiwan itu ditahan di Kuala Lumpur manakala tiga lelaki tempatan itu ditahan di Subang Jaya selepas polis menerima laporan daripada mangsa di Sungai Buloh.

“Hasil siasatan mendapati tiga suspek terbabit merekrut penama akaun bank atau ‘keldai akaun’ bagi menerima wang daripada mangsa.

“Semua ‘keldai akaun’ ini akan menerima upah antara RM200 hingga RM400 daripada sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Fazlisyam berkata, pihaknya turut merampas beberapa kad pengeluaran wang automatik (ATM), telefon bimbit dan komputer riba dipercayai bagi kegunaan sindiket terbabit.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dalang berkenaan datang ke negara ini sebulan sekali bagi mengambil kad serta butiran ‘keldai akaun’ daripada tiga suspek itu.

“Semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenal pasti 75 ‘keldai akaun’ yang menggunakan akaun bank mereka untuk tujuan penipuan dengan 34 daripada mereka sudah didakwa di mahkamah.

Katanya, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 187 penipuan dalam talian membabitkan kerugian lebih RM15 juta berlaku di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 5:30 AM