PU Amin. FOTO Arkib NSTP.
PU Amin. FOTO Arkib NSTP.
Syafil Syazwan Jefri


PENDAKWAH bebas yang juga Pencetus Ummah (PU) Amin memaklumkan dia menerima teguran daripada pihak berkuasa Arab Saudi selepas isu usahawan sensasi, Nur Sajat yang berpenampilan wanita ketika berada di Tanah Suci tular sejak semalam.

Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maulana Lokmah Hakim yang kini berada di Makkah berkata, teguran itu baginya satu nasihat dan pedoman untuk rakyat Malaysia.

“Ketika bersama seorang sahabat, kebetulan ada pihak polis Arab Saudi yang datang dan menegur kami. Dia bertanya, dari mana dan apabila saya maklumkan dari Malaysia, terus ditanya mengenai isu yang viral itu.

“Saya tak terlalu menunjukkan reaksi yang saya tahu kerana nanti bermacam soalan pula akan ditanya. Namun, polis itu mengingatkan sebagai jemaah umrah, tak boleh buat sesuka hati ikut apa kita inginkan dan perlu berhati-hati.

“Justeru, saya melihat dan ambil teguran diberikan sebagai nasihat serta pedoman umum kepada kita semua,” katanya kepada Harian Metro.

Amin ketika dihubungi berkata, isu yang berlaku itu sedikit sebanyak memberikan kesan negatif kepada jemaah umrah dari Malaysia.

“Selama ini, jemaah kita sentiasa mengikut arahan dan panduan yang ditetapkan, tetapi dengan isu ini secara tidak langsung mencalarkan imej jemaah dari Malaysia di mata masyarakat luar,” katanya.

Diminta mengulas mengenai isu tular itu, Amin berkata, dia pada awalnya hanya mengambil pendekatan secara positif.

“Pertama sekali, kita bersangka baik. Mungkin dia (Sajat) masuk ke kawasan lelaki dan bersolat dengan jemaah lelaki. Namun, bila dimaklumkan dia masuk ke ruang solat wanita, ia menggugat kesucian kedua-dua masjid ini.

“Ini sudah menjadi satu isu besar yang diperkatakan dan dibincangkan oleh seluruh petugas umrah, serta pegawai Arab di sini. Mereka sedar ini membabitkan soal keselamatan dan kesucian Masjidil Haram dan Masjid Nabawi,” katanya.

Katanya, kawalan keluar masuk ke dalam kedua-dua masjid boleh kini agak ketat, yang mana pintu masuk untuk lelaki dan wanita diasingkan.

“Di Tanah Suci, wanita sangat dimuliakan. Sekiranya ada lelaki yang menyamar atau menyerupai wanita masuk ke ruang khas ditetapkan, ia sudah melanggar undang-undang di sini,” katanya.

Bagaimanapun, Amin tidak menyalahkan agensi yang terbabit membawa Nur Sajat dan rombongannya untuk mengerjakan umrah ke Tanah Suci.

“Pihak agensi sudah memberikan pendedahan kepada mereka mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada di Tanah Suci.

“Namun, apabila gambar serta video itu tular, ia mula mengundang fitnah yang besar bukan sahaja kepada mereka, tetapi membabitkan jemaah umrah lain dari Malaysia.

“Saya dimaklumkan, perkara ini sudah dilaporkan kepada pihak atasan dan mungkin selepas ini, kawalan untuk jemaah Malaysia lebih ketat lagi supaya hal sama tidak berulang,” katanya.

Amin turut menegaskan terdapat banyak hikmah yang diperoleh daripada isu ini.

“Satu daripadanya supaya kita memberi banyak bimbingan dan pendedahan kepada golongan pondan dan mak nyah.

“Mereka tidak disekat untuk ke Tanah Suci kerana 'rumah Allah' ini terbuka buat sesiapa sahaja.

“Cuma, kita perlu faham setiap tempat ada undang-undang dan peraturannya. Justeru, untuk golongan ini seharusnya perlu disediakan banyak program bimbingan untuk mereka,” katanya.

Amin turut menegaskan sudah tiba masanya untuk masyarakat berhenti menggunakan kata-kata penghinaan untuk mengecam golongan berkenaan.

Menurutnya, mereka perlu dibimbing supaya golongan ini sedar bahawa taubat yang sebenarnya adalah mengubah diri daripada seorang yang baik kepada menjadi sempurna.

“Untuk berubah memang susah, tetapi mereka perlu lakukannya.

“Berhenti makan pil hormon, potong rambut, berhenti memakai tudung dan berpakaian wanita dan hadir ke sini (Tanah Suci) dengan pakaian mengikut jantina asal,” katanya.

Berita berkaitan:

Sajat dilanda 'kerinduan'

Agensi pelancongan lapor konsulat

Sajat syukur dapat buat umrah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 2:53 PM