Dr Zulkifli menerima tiga helai jersi yang dihadiahkan Tunku Azizah. FOTO Arkib NSTP & Twitter Dr Zulkifli
Dr Zulkifli menerima tiga helai jersi yang dihadiahkan Tunku Azizah. FOTO Arkib NSTP & Twitter Dr Zulkifli
Redzuan Muharam


MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menzahirkan penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas pemberian tiga helai jersi kepadanya.

Ucapan penghargaan itu diluahkan menerusi Twitter miliknya, semalam dan beliau turut memuat naik gambar tiga jersi yang diterimanya.

“Setiba di rumah, terlihat bungkusan daripada Istana Negara. Bila dibuka, rupa-rupanya bungkusan itu adalah tiga helai jersi dengan nama saya dan nombor kegemaran saya.

“Tidak lain tidak bukan, sudah pasti ia derma kurnia KDYMM (Kebawah Duli Yang Maha Mulia) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

“Junjung kasih Tuanku atas derma kurnia ini. Doa patik agar Allah SWT kurniakan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA (Yang di-Pertuan Agong) dan KDYMM Seri Paduka Baginda serta kerabat, di bawah ‘inayah, kesejahteraan dunia dan akhirat serta kesihatan yang berpanjangan dalam keredaan Allah SWT,” ciapnya.

Bagaimanapun, ciapan itu menarik perhatian warganet dengan rata-ratanya meninggalkan komen nakal kepada Zulkifli kerana satu daripada jersi itu ialah jersi Chelsea, bukannya Liverpool yang menjadi pasukan kegemarannya.

Salah seorang pelayar Twitter, Farhan Mahadzir menerusi ciapannya berkata, pemberian hadiah itu adalah taktik untuk ‘memancing’ Dr Zulkifli supaya beralih arah daripada Liverpool.

“Usaha nak tarik Dato’ Seri daripada sokong Liverpool ni. Hati-hati Dato’ Seri,” ciapnya.

Seorang lagi pelayar, Yasir berharap Zulkifli terus setia dengan pasukan kegemarannya, walaupun menerima jersi Chelsea.

“Ni semua agenda untuk memesongkan Dato’ dari Liverpool. Kuatkan iman Dato’, saya yakin Dato’ boleh,” ciapnya.

Pada 24 Oktober lalu, Tunku Azizah pernah menghantar ciapan di Twitter dengan berkata, “Nanti saya hadiahkan t-shirt bola kepada Dato OK... Dato team mana?”

Baginda memberi reaksi itu susulan ciapan Zulkifli berkenaan hadiah jersi Liverpool diterimanya, hari ini.

Ia kemudiannya disambut dengan rendah hati oleh Zulkifli dengan mengatakan beliau memang meminati pasukan Liverpool dan Brazil.

“Ampun Tuanku. Junjung kasih kesudian mencemar duli ke ciapan patik dan ingin tahu pasukan patik. Patik minat Liverpool dan Brazil.

“Patik maklum KBDYMM Tuanku minat Arsenal dan berbesar hati menerima apa jua kurnia Tuanku seumpama jersi Arsenal, Pahang (rumpun Pantai Timur) atau JDT (Johor Darul Ta’zim),” ciapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 5:38 PM