ANTARA gambar kenangan Syed Saddiq bersama Toby. FOTO IHSAN TWITTER SYED SADDIQ
ANTARA gambar kenangan Syed Saddiq bersama Toby. FOTO IHSAN TWITTER SYED SADDIQ
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tular di laman sosial sejak semalam mengenai kematian Toby iaitu kucing kesayangan peliharaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Berita sedih itu dikongsikan Syed Saddiq menerusi ciapan di Twitter.

Menerusi ciapan itu, Syed Saddiq turut berkongsi empat gambar kenangannya bersama Toby.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci punca kematian Toby yang kerap mencuit hati pengikutnya kerana nampak manja.

"Toby, kucing kesayangan saya sudah meninggalkan kami. Tiba-tiba dan menyedihkan.

"Saya rindukannya. Terima kasih kerana ada bersama saya dalam waktu yang sukar.

"Tenanglah Toby dalam 'syurga kucing'," ciapnya.

Rata-rata pengikut Syed Saddiq dan netizen turut meluahkan kesedihan atas pemergian Toby.

"Aduh, saya tahu bagaimana sakitnya kehilangan kucing. Semoga tabah," ciap pengguna Twitter dikenali Elle.

"Oh tidak Toby, kenapa sakit ke? Kami pun akan merindui gelagat Toby," ciap seorang lagi pengguna Twitter, Aien Syamsul.

"Kehilangan kucing ibarat hilang ahli keluarga. Saya kehilangan dua ekor kucing tahun lalu dan peritnya tidak tertanggung," ciap Aida Rashidi.

Sehingga kini, ciapan Syed Saddiq itu meraih 1.5 juta tontonan dengan 9,496 ulang ciap.

#kw tular, kematian, kucing, ahli parlimen, muar, kuala lumpur

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 5:48 PM