GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


JABATAN Kesihatan Pulau Pinang (JKPP) menafikan terdapat pelancong dari China dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown, akibat jangkitan wabak koronavirus baharu.

Ia berikutan satu video tular di laman sosial hari ini yang mendakwa terdapat pelancong negara terbabit ditahan di hospital berkenaan.

Jurucakap JKPP berkata, setakat ini, tiada kes yang disahkan positif koronavirus baharu di negeri ini.

“Diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan mengambil video atau gambar di kawasan hospital tanpa kebenaran selaras dengan pekeliling yang dikuat kuasakan.

“Pihak jabatan sentiasa melaksanakan langkah seperti yang disyorkan oleh World Health Organisation (WHO),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, video berdurasi 19 saat itu memaparkan satu unit rawatan di HPP didakwa dikosongkan berikutan terdapat pelancong warga China yang terkena jangkitan menerima rawatan.

Video yang tular berkenaan mendapat perhatian warganet yang bimbang dengan penularan wabak berkenaan di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 9:11 PM