Anggota JBPM berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan JBPM
Anggota JBPM berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU lori membawa muatan tanah cedera ringan akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori lagi lori membawa susu getah di Kilometer 451.8 Lebuhraya Utara-Selatan, di Sungai Buloh, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.38 pagi tadi.

“Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori muatan tanah 10 tan dengan lori membawa muatan susu getah.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori tanah berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami cedera ringan di bahagian lutut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, lelaki itu kemudian berjaya dikeluarkan pihak bomba beberapa minit kemudian sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

“Kelindan lori itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 11:26 AM