Suspek ditahan di sebuah rumah di Setapak. FOTO Ihsan PDRM
Suspek ditahan di sebuah rumah di Setapak. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PENJENAYAH yang merempuh kenderaan dinaiki pasangan suami isteri selepas ‘kantoi’ memecah masuk rumah mangsa di Jalan SS 22/27 di Petaling Jaya, dalam kejadian 22 Januari lalu berjaya ditahan polis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di Setapak Jaya jam 10.25 malam.

“Siasatan awal mendapati, suspek berusia 37 tahun itu mengaku melakukan kegiatan pecah rumah bersama tiga lagi rakannya.

“Modus operandi kumpulan itu adalah menyamar sebagai pemilik rumah dengan meletakkan atau parkir kenderaan digunakan mereka jenis Honda HRV dan Mazda CX5 di laman rumah mangsa dipercayai bagi mengaburi mata jiran,” katanya.

Mohd Zani berkata, pemeriksaan mendapati, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, pecah rumah dan samun.

“Hasil penahanan suspek, polis berjaya merampas tiga beg tangan pelbagai jenama, dua telefon pintar dan satu tab dipercayai hasil kegiatan haram itu.

“Kita akan mohon reman pada hari ini bagi membantu siasatan kes dan usaha mengesan rakannya sedang giat dijalankan,” katanya.

Pada 22 Januari lalu, tular satu video di media sosial menunjukkan suspek nekad merempuh sebuah kenderaan dinaiki suami isteri ketika mereka tiba di rumah.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang, pasangan suami isteri terbabit dikatakan baru pulang daripada membeli barangan sambutan Tahun Baharu Cina sebelum mendapati pintu pagar kediaman mereka terbuka dan terdapat sebuah kereta lain di anjung rumah teres dua tingkat itu.

Pemandu yang juga pemilik rumah berusia 60 tahun kemudian memberhentikan kereta di hadapan kereta suspek untuk memeriksa kenderaan berkenaan namun pemandunya bertindak agresif merempuh kenderaan mangsa sebanyak dua kali sebelum berjaya meloloskan diri.

Suami isteri terbabit memeriksa kediaman mereka dan mendapati beberapa barangan berharga lesap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 11:08 AM