ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Suami isteri maut manakala tiga anaknya parah selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 40.6 Lebuhraya ELITE pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Nordin Mohd Tahir, 47 dan isterinya, Hasnah Ishak, 47.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati, tayar belakang kereta mangsa tiba-tiba pecah menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan dan merempuh pembahagi jalan.

Beliau berkata, dua mangsa maut serta merta di lokasi kejadian akibat cedera di kepala dan anggota badan manakala tiga yang lain mengalami cedera dan seorang lagi mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat manakala, tiga mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Siasatan mendapati, keadaan jalan kering dan cuaca baik ketika kemalangan berlaku," katanya.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan kes di siasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 7:11 PM