AMINUDDIN (dua dari kiri) beramah mesra dengan Che Bi yang menerima geran hak milik tanah penduduk FELCRA Kampung Malan di Pejabat FELCRA Jalan Melang, Kuala Pilah, hari ini. FOTO Amran Yahya.
AMINUDDIN (dua dari kiri) beramah mesra dengan Che Bi yang menerima geran hak milik tanah penduduk FELCRA Kampung Malan di Pejabat FELCRA Jalan Melang, Kuala Pilah, hari ini. FOTO Amran Yahya.
Amran Yahya


“SELEPAS 59 tahun menunggu, akhirnya geran hak milik tanah diduduki kini sah milik kami,” kata Che Bi @ Rabibah Amin.

Che Bi, 81, antara 80 penduduk FELCRA Kampung Malan, Johol, yang menerima geran berkenaan.

Ia disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di Pejabat FELCRA, Jalan Melang, Kuala Pilah, hari ini.

Che Bi yang juga peneroka asal FELCRA Kampung Malan bersyukur kerana tanah diteroka dan diusahakan sejak 59 tahun lalu kini menjadi miliknya.

“Dulu, arwah suami, Md Amin Ujang yang meneroka tanah ini, namun selepas dia meninggal dunia pada 1988, saya ambil alih tanah ini.

“Kami sama-sama meneroka tanah FELCRA Kampung Malan dan sebahagian besar peneroka asal meninggal dunia tanpa sempat memiliki geran hak milik tanah,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Dr Razali Ab Malek, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Mohd Nazrul Izam Mansor dan Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad Tengah Nor Zahari Zakaria.

Menurut Che Bi, memang sebak memikirkan jerih payah peneroka awal dalam membuka dan memajukan tanah berkenaan.

“Akhirnya geran yang kami nantikan selama ini dapat kami genggam.

“Ini bermakna penempatan ini diiktiraf dan lebih manis, Menteri Besar sendiri yang menyerahkan geran ini,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, penyerahan geran hak milik tanah berkenaan membuktikan kerajaan negeri prihatin dengan keperluan masyarakat luar bandar untuk memiliki aset sendiri.

“Saya ingin berpesan, jangan hari ini dapat (geran), selepas itu berkira-kira pula hendak dijual pula tanah itu.

“Pemilik perlu mempertahankan aset terutama hartanah yang ada supaya dapat diwarisi generasi akan datang.

“Sekiranya berhajat untuk menjual atau memindah hak milik, pindahkanlah kepada anak atau waris terdekat,” katanya.

FELCRA Kampung Malan terbahagi kepada 176 lot dengan 254 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 6:10 PM