FRANKIE Poon Ming.
FRANKIE Poon Ming.
Juwan Riduan


KEMENTERIAN Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, menafikan laporan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dimasukkan ke hospital di Sabah kerana dikhuatiri dijangkiti wabak Koronavirus Baharu.

Menterinya, Datuk Frankie Poon Ming berkata, maklumat berkenaan yang banyak dikongsikan oleh orang ramai di laman sosial dan aplikasi WhatsApp itu adalah berita palsu.

"Berita itu palsu... mungkin kita harus beri kesedaran mengenai denda terhadap berita palsu ini bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular berhubung mesej yang menimbulkan keraguan di laman sosial sejak awal pagi tadi.

Dalam mesej tular melalui Facebook dan WhatsApp itu mendakwa, sebuah wad di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas ditutup kerana seorang kanak-kanak dari Shanghai, China menerima rawatan akibat dijangkiti wabak Koronavirus Baharu.

Malah dalam mesej itu turut menyelitkan sekeping gambar yang kononnya situasi terkini di hospital HWKKS.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meningkatkan usaha bagi membendung penyebaran berita palsu berkaitan dengan Koronavirus Baharu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:31 PM