SITI Murni sebak ketika ditemui di luar ICU HWKKS, Kota Kinabalu.
SITI Murni sebak ketika ditemui di luar ICU HWKKS, Kota Kinabalu.
Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli

SUASANA sambutan Aidiladha bagi keluarga Siti Murni Jafar, 23, tiada lagi semeriah tahun-tahun sebelumnya selepas ayahnya Jafar Janidil, 61, meninggal dunia dalam letupan bot kargo di perairan Pulau Banggi, Kudat, Rabu lalu.

Malah, adik bongsunya Mohd Nasaruddin Jafar, 10, turut melecur teruk dan kini dirawat di Unit Kecemasan (ICU) Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.

Selain itu, abangnya Mohd Kamarudin Jafar, 26, turut cedera pada kaki sebelah kanan dan menerima rawatan di Hospital Kudat.

Siti berkata, mereka sekeluarga masih terkejut dengan apa yang menimpa ayah dan adik bongsunya.

"Macam mana kami hendak menyambut Aidiladha... dalam masa satu hari, kami kehilangan bapa manakala adik bongsu melecur teruk dan kini masih menerima rawatan di HWKKS.

"Kesihatan ibu kami pun terjejas kerana ketika proses pengebumian ayah, ibu pengsan tiga kali," katanya ketika ditemui di luar ICU HWKKS, hari ini.

Siti berkata, keadaan adik bongsunya kini stabil namun masih memerlukan pemantauan pihak hospital.

"Nasaruddin sudah sedar dan asyik memanggil ayah kerana ketika kejadian itu, dia melihat letupan itu berlaku termasuk bapa yang meninggal dunia.

"Doktor memaklumkan tubuhnya membengkak dan luka-luka yang melecur hampir 60 peratus baru dicuci namun keadaannya stabil," katanya.

Menurutnya, seorang lagi adiknya, Mohd Saharudin, 21, bekerja di Kuala Lumpur yang sepatutnya pulang untuk menyambut Aidiladha terpaksa menjaga adik di hospital.

"Ibu redha dengan pemergian ayah tetapi tidak terima keadaan Nasaruddin," katanya.

Jenazah Jafar sudah dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran Pulau Banggi, petang semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, berdasarkan maklumat awal, bot kargo itu dipercayai sedang berlabuh di perairan Kampung Padang, Pulau Banggi untuk memindahkan petrol.

"Hasil soal siasat seorang mangsa yang terselamat, kebakaran berpunca daripada enjin bot yang terbakar sebelum merebak dan menyambar tong berisi petrol.

"Bagaimanapun siasatan masih diteruskan," katanya.

Dalam kejadian 6.50 petang Rabu lalu, dua kru bot, Jafar Janidil, 61, dan Shalan Ashadan, 27, meninggal dunia akibat melecur di badan.

Tiga lagi penumpang, Azmain Nawali, 45, bersama dua anak Jafar iaitu Mohd Kamarudin dan Mohd Nasaruddin turut parah akibat melecur.

Berita berkaitan:

Meletup masa nak pindah petrol

Dua maut bot meletup

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 3:36 PM