KAKITANGAN hospital membantu mengangkat wanita yang bersalin di kawasan Dataran Todak, untuk dihantar ke HWKKS Kota Kinabalu, malam tadi. FOTO Juwan Riduan.
KAKITANGAN hospital membantu mengangkat wanita yang bersalin di kawasan Dataran Todak, untuk dihantar ke HWKKS Kota Kinabalu, malam tadi. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


SEORANG wanita menempuh detik mencemaskan apabila tidak sempat ke hospital dan melahirkan bayi perempuannya di kawasan Dataran Todak, Kota Kinabalu, malam tadi.

Kejadian berlaku pada 10.30 malam selepas Pahmah Nastih, 38, dari Kampung Kasuapan, Pulau Gaya, tidak sempat dibawa Ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas.

Abang ipar kepada Pahmah, Halilih Ladjahali, 50, berkata, Pahmah mengadu rasa sakit hendak bersalin sebelum dia bersama isteri bergegas membawanya menaiki bot dari Kampung Kasuapan menuju ke Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di jeti, saya cuba mendapatkan kenderaan untuk pergi ke HWKKS, namun keadaan di kawasan itu lengang kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada masa sama, saya meminta bantuan anggota polis sedang bertugas menguatkuasakan PKP untuk menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui di pekarangan HWKKS.

Menurutnya, ketika dia bersama isteri memapah Pahmah menuju ke jalan utama, Pahmah mengadu sakit perut hendak bersalin.

“Isteri saya kemudian menenangkannya dan kebetulan dua anggota polis termasuk seorang anggota wanita yang sedang membuat rondaan terus menghulurkan bantuan.

“Tidak lama selepas itu, isteri saya memaklumkan kepala bayi sudah kelihatan sambil anggota polis wanita terbabit membantu Pahmah bersalin di kawasan Dataran Todak,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian ambulans dari HWKKS tiba dan membawa Pahmah bersama anak perempuan yang selamat dilahirkan.

Katanya, dia dan isteri tinggal serumah bersama Pahmah dan ketika itu suaminya tiada di rumah kerana keluar ke laut menangkap ikan.

“Alhamdulillah, doktor memaklumkan Pahmah dan anaknya dalam keadaan baik dan stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika kejadian itu, dua anggota polis termasuk seorang anggota polis wanita sedang membuat pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu dan Dataran Todak bagi menguatkuasakan PKP.

“Melihat situasi itu, anggota polis wanita itu kemudian segera membantu dengan ditemani kakak wanita terbabit dan wanita itu selamat melahirkan bayinya.

“Wanita bersama anaknya kemudian dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke HWKKS bagi menjalani rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 1:13 PM