KKM akan meningkatkan jumlah pengimbas haba di pintu masuk negara. FOTO NSTP
KKM akan meningkatkan jumlah pengimbas haba di pintu masuk negara. FOTO NSTP
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan jumlah pengimbas haba di pintu masuk negara bagi mengesan pelancong yang memasuki negara ini yang berkemungkinan membawa Koronavirus baharu (2019-nCoV).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya mengadakan mesyuarat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini untuk membincangkan secara lanjut keperluan menempatkan peralatan itu di pintu masuk tanah air.

“Kami akan tingkatkan peralatan pengesanan awal (pengimbas). Kami akan mengadakan mesyuarat dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Nadma untuk melihat bagaimana boleh meningkatkannya lagi,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 di Klang, hari ini.

Rumah terbuka berkenaan dihoskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Dewan Perdagangan dan Industri Cina Klang (KCCCI) turut dihadiri beberapa menteri Kabinet.

Dzulkefly berkata, Kementerian Kewangan menyatakan komitmen untuk menyediakan peruntukan bagi peralatan berkenaan.

“Pengimbas ini sangat penting, setakat ini kami mempunyai 51, itulah sebabnya kami meminta Kementerian Kewangan, dalam fasa krisis ini, lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan keupayaan peralatan kami,” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) digerakkan ke seluruh negara untuk pemantauan dan kemas kini segala laporan yang diterima daripada fasiliti awam dan swasta.

“Sehingga kini, kami merasakan tahapnya adalah terkawal, tetapi sekarang ini ada kepentingan untuk kami angkat ke peringkat Nadma,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang ditemui pada majlis rumah terbuka itu, berkata kementeriannya bercadang memanggil pemain industri dalam masa terdekat, bagi membincangkan mengenai perkara itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 5:59 PM