Nurul Hidayah Bahaudin


PENGGUNA rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 20 peratus pada 25 Januari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Azman Ismail berkata, pengguna lebuh raya akan diberikan diskaun tol sebanyak 20 peratus ketika membayar tol antara jam 12 tengah malam hingga 11:59 malam.

“Jika pengguna memasuki lebuh raya jam 7 malam pada 24 Januari dan keluar dari lebuh raya serta membuat bayaran tol pada jam 12.15 pagi pada 25 Januari, mereka layak menikmati diskaun berkenaan.

“Kami juga mengambil peluang untuk mengucapkan kepada pelanggan kami supaya ‘hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta sentiasa selamat walau di mana sahaja mereka berada’ dan dapat meraikan Tahun Baharu Cina bersama insan tersayang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

AZMAN ISMAIL
AZMAN ISMAIL

Menurutnya, diskaun tol 20 peratus itu diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

“Bagaimanapun diskaun ini tidak diberikan untuk transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang dan juga tidak ditawarkan kepada pengguna di Jambatan Pulau Pinang yang menikmati diskaun tol 20 peratus sedia ada melalui kad Touch n Go,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:39 PM