PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff (kanan) memeriksa lesen penunggang motosikal pada Ops Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Ayer Keroh Lama, Melaka. FOTO AMIR MAMAT
PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff (kanan) memeriksa lesen penunggang motosikal pada Ops Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Ayer Keroh Lama, Melaka. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


SEORANG lelaki pasrah apabila disaman atas kesalahan menunggang motosikal Yamaha 125Z dengan tidak mempamerkan nombor pendaftaran.

Lelaki berusia 63 tahun dari Kampung Pasir Puteh, Bachang, Melaka, tidak menyangka sekatan jalan raya dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di jalan sering dilaluinya iaitu di Jalan Ayer Keroh Lama, Ayer Keroh.

Dia mendakwa tidak perasan motosikal dikatakan milik anaknya itu tidak mempunyai nombor pendaftaran di bahagian depan.

“Saya pinjam motosikal anak untuk pulang ke rumah. Tak perasan pula tak ada nombor plat (nombor pendaftaran).

“Ni dah kena saman pula, tak tahu macam mana nak bayar,” katanya sejurus menerima resit saman daripada anggota penguat kuasa JPJ, hari ini.

Lelaki berkenaan antara 64 penunggang motosikal dikenakan saman pada Operasi Khas Motosikal Sempena Tahun Baharu Cina.

Dalam operasi itu, seorang lelaki turut disaman gara-gara menunggang motosikal yang tamat cukai jalan serta insurans.

Lelaki berusia 50-an itu mengakui dia terlupa untuk memperbaharui cukai jalan kerana mempunyai empat motosikal lain selain memberikan alasan tidak dihubungi pihak syarikat insurans.

Katanya, disebabkan itu dia tidak menyedari motosikal Skuter Yamaha NVX miliknya sudah tamat cukai jalan sejak Mei tahun lalu.

“Selalunya sebelum tamat tempoh cukai jalan, pihak insurans akan hubungi saya, tapi malangnya untuk motosikal ini tak ada sesiapa telefon saya.

“Dah salah sendiri saya terima sahaja saman, cuma nak turun naik mahkamah itu yang sukar sedikit,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Berendam.

Dalam operasi bermula 9.30 pagi dan berakhir 1 tengah hari itu, sebanyak 465 kenderaan diperiksa termasuk motosikal pelbagai jenis selain 80 kenderaan diambil tindakan manakala sebuah kenderaan menerima notis penahanan kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:18 PM