LELAKI yang berjaya dipujuk supaya turun dari menara telekomunikasi di Bukit Memaloh, Kanowit. FOTO Ihsan Bomba
LELAKI yang berjaya dipujuk supaya turun dari menara telekomunikasi di Bukit Memaloh, Kanowit. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


SELEPAS lebih 30 jam bertenggek pada menara telekomunikasi di Bukit Memaloh di Kanowit, seorang lelaki yang menghadapi tekanan perasaan akhirnya berjaya dipujuk turun daripada menara itu, petang tadi.

Lelaki warga Indonesia, Pandi Bujang, 35, turun daripada menara setinggi 150 meter itu, 3.51 petang ini, selepas dipujuk pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut memanjat menara berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, Pandi dipercayai mengalami tekanan perasaan dan memanjat menara itu awal pagi semalam.

Beliau berkata, usaha memujuk Pandi turut dilakukan anggota polis yang menghantar makanan 10 pagi.

“Pada 11.15 pagi tadi, Pandi tiba-tiba menangis dan mengugut untuk terjun (dari menara itu), selain meminta pasportnya.

“Bimbang berlaku perkara tidak diingini, anggota polis turun dan pada 3.20 petang, dua anggota bomba memanjat menara sebelum berjaya memujuk Pandi,” katanya ketika dihubung, hari ini.

Ling Hii berkata, Pandi dibawa turun dengan menggunakan tali penyelamat.

“Anggota perubatan yang turut berada di lokasi memberi rawatan awal kepada Pandi lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 5:39 PM