Suspek cuba bersembunyi selama lebih sejam di atas pokok sebelum ditahan polis. FOTO IHSAN PEMBACA
Suspek cuba bersembunyi selama lebih sejam di atas pokok sebelum ditahan polis. FOTO IHSAN PEMBACA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis mengambil masa lebih sejam memujuk seorang penganggur yang bersembunyi di atas pokok selepas memecah masuk pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Sembulan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pengawal keselamatan menyedari suspek lelaki berusia 32 tahun itu memecah masuk pejabat agensi kerajaan terbabit kira-kira jam 9 malam.

Katanya, suspek melarikan diri dan memanjat sebatang pokok kayu ara di kawasan bangunan kementerian berkenaan untuk menyembunyikan diri.

"Polis yang menerima laporan terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati suspek berada di atas pokok berkenaan.

"Kita terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam usaha memujuk suspek turun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek pada awalnya berdegil dan enggan turun kerana tidak mahu ditahan pihak berkuasa.

Namun katanya, selepas lebih sejam dipujuk oleh polis dan anggota bomba, suspek akhirnya akur dan turun menyerah diri.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda yang boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 1:59 PM