Pihak Bomba membantu memberi rawatan lelaki yang bertindak membakar bilik kediaman bersama teman wanitanya di belakang Warung 2000, Kota Samarahan semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Pihak Bomba membantu memberi rawatan lelaki yang bertindak membakar bilik kediaman bersama teman wanitanya di belakang Warung 2000, Kota Samarahan semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


BAKAR kotak sebelum kunci bilik. Itu tindakan lelaki tempatan dan wanita warga Filipina yang dipercayai cuba membunuh diri dalam kejadian di Warung 2000 di Kota Samarahan, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, kedua-dua suspek bagaimanapun diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas dipujuk untuk membuka pintu bilik.

Namun, siasatan lanjut dilakukan pihak berkuasa mendapati suspek lelaki berusia 50-an itu terbabit dalam kes pecah rumah sebelum dia dan wanita terbabit ditahan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Samarahan, Asisten Superintendan Rafhan Kepli berkata, pihaknya menahan kedua-dua suspek dan turut merampas barang hasil pecah rumah yang dilakukan lelaki terbabit.

"Beberapa pengadu kes pecah rumah yang dilaporkan akan dipanggil untuk membuat pengecaman barang kes bagi membantu siasatan.

"Buat masa ini suspek ditangkap bersabit kes pecah kedai kecantikan yang berlaku di Kawasan Desa Ilmu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Semakan lanjut juga mendapati, suspek perempuan sudah tinggal melebihi tempoh masa di negara ini dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Mengulas cubaan bunuh diri itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan melaporkan asap keluar dari bangunan dan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.

"Pasukan Bomba dan polis berjaya memujuk mangsa untuk membuka pintu. Lelaki terbabit dibawa pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke Pusat Jantung Sarawak manakala, perempuan diserahkan kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Samarahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:07 PM