HUSAM mencuba menyedut madu kelulut dengan menggunakan serai buluh yang dijadikan straw di tapak projek Tanaman Mangga Harum Manis di Kampung Paloh Tendong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HUSAM mencuba menyedut madu kelulut dengan menggunakan serai buluh yang dijadikan straw di tapak projek Tanaman Mangga Harum Manis di Kampung Paloh Tendong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


LEMBAGA Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bersedia memberi lot tanah di tali air secara percuma kepada orang ramai untuk penanaman serai buluh yang boleh dijadikan straw.

Pengerusinya, Senator Datuk Husam Musa berkata, serai buluh boleh dibiakkan kerana menyedari tanaman itu tidak banyak diusahakan di Kelantan.

Katanya, KADA bukan saja bersedia menawarkan lot tanah yang masih kosong kepada mereka yang berminat mengusahakan tanaman serai buluh malah sedia membantu dari segi keperluan mesin bajak, baja dan teknik tanaman.

"Jika diikutkan di Malaysia terdapat pelbagai jenis serai tetapi serai buluh adalah yang paling sesuai untuk dijadikan straw kerana fizikalnya yang lebih bulat, panjang dan memiliki saiz sesuai sebagai penyedut minuman.

"Banyak manfaat yang diperolehi hasil tanaman serai ini yang mana kulit luar dijadikan straw manakala bahagian dalam boleh menghasilkan produk lain seperti abstrak serai dan minyak serai selain ia boleh mengubati banyak penyakit.

"Penanaman serai ini bukan saja diusahakan oleh KADA malah sesiapa saja boleh menanamnya di seluruh negara. Namun idea ini memerlukan usaha secara intergrasi dan komprehensif," katanya dalam sidang media selepas melawat tapak Projek Tanaman Mangga Harum Manis di Kampung Paloh Tendong, Pasir Mas, semalam.

Husam turut menyatakan sokongan KADA untuk mengembangkan lagi tanaman mangga secara komersial termasuk Harum Manis di Kelantan.

Katanya, setiap penerokaan idea baru termasuk menjadikan serai buluh sebagai penyedut minuman perlulah dipandang positif malah setiap idea yang dilontarkan sudah dikaji dan diselidik sepenuhnya.

"Idea penggunaan serai buluh menggantikan straw diperkenalkan kerana menyedari tidak ada komplikasi atau kesan sampingan melainkan kepada mereka yang mungkin alergik pada serai.

"Alhamdulillah, koperasi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bersetuju mengedarkan straw serai buluh dalam hospital terbabit," katanya.

Berita berkaitan

KKM tak wajib serai jadi straw di hospital

Serai ganti straw

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 4:46 PM