MANGGA harum manis menjadi kegilaan ramai kerana rasanya yang lazat.
MANGGA harum manis menjadi kegilaan ramai kerana rasanya yang lazat.
Siti Rohana Idris


Menggunakan pendekatan sama seperti menanam pelbagai pokok buah-buahan di dalam pasu bagi meminimumkan penggunaan tanah, kelainan itu terus dieksperimen melalui penanaman pokok mangga harum manis.

Bukan saja bagi mengehadkan penggunaan tanah, malah 30 pokok mangga harum manis daripada baka MA128 itu hidup subur dan membuahkan hasil.

Kaedah penanaman dalam pasu itu dijalankan seorang guru dari Kampung Paloh, Tendong, Pasir Mas, Mohd Rosli Yaakub, 51, bermula lima tahun lalu, namun untuk penanaman pokok baka MA128 itu sudah dimulakan pada sejak 2013.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, bukan sahaja tanah dapat diperuntukkan untuk tanaman lain, malah kaedah penanaman dalam pasu juga sangat mudah diuruskan terutama untuk aliran air, baja serta racun.

"Setiap pasu saya pacakkan paip untuk mengairi pokok dan air yang dibekalkan itu hanya mengalir sekitar dalam pasu sahaja begitu juga untuk pemberian baja serta racun yang tidak berselerak ke tempat lain.

"Susun letak pasu juga dibuat secara zig zag bagi mengelakkan tumbesaran pokok terhalang antara satu sama lain.

"Penjagaannya cukup mudah dan ringkas dengan pengairan yang terhad alirannya, penggunaan baja dua minggu sekali serta racun pula disembur sebulan atau dua bulan sekali bagi menjaga daun," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Dia yang memperoleh benih daripada pembekal dari Johor mengakui untuk sebatang pokok mangga harum manis yang ditanamnya boleh mengeluarkan sehingga 70 biji.

"Jangka masa yang diambil untuk pokok mangga itu bermula dari awal sehingga mengeluarkan hasil adalah sekitar empat bulan," katanya.

Sebaik buah mula kelihatan dengan ukur lilitnya 16 sentimeter, dia akan membalutnya menggunakan pembalut khas dan lazimnya jangka masa yang diambil kira-kira 56 hari sebelum sesuai dipetik.

"Biasanya saya tambahkan lagi masa selama 14 hari selepas mencapai 56 hari itu bagi membiarkan buahnya masak di pohon dan buah juga akan dibalut dengan pembalut khas bukannya surat khabar bagi mencantikkan kulit serta mengelakkan serangan lalat buah.

"Buah mangga harum manis memang menjadi kegilaan ramai selain rasanya yang lazat, bijinya juga nipis. Bagi saya, kekangan tanah yang sempit bukan penghalang kepada mereka yang ingin mengusahakan tanaman ini kerana boleh ditanam dalam pasu sahaja," katanya.

BUAH perlu dibalut dengan pembalut khas.
BUAH perlu dibalut dengan pembalut khas.

Mohd Rosli berkata, dia kini dalam perancangan untuk menjalankan penanaman luar musim berbanding kebiasaannya hanya ditanam sekali setahun sahaja bagi menggalakkan pengeluaran.

Selain 30 pokok mangga harum manis atau digelar sebagai 'Pauh Wongi Manih Leting' di Kelantan, Mohd Rosli turut menanam jambu madu Taiwan, rambutan laici, manggis masta, sentul dan belimbing juga dalam pasu di tanah seluas kira-kira 0.2 hektar.

Selain untuk dimakan, penanaman pelbagai pokok buahan itu adalah sebagai stok makanan kepada kelulut yang turut diternaknya iaitu sebanyak 100 sarang di sekitar rumah.

"Sebab itu madu yang dihasilkan kelulut ini mempunyai rasa yang pelbagai kerana stok makanannya terdiri daripada aneka pokok buah-buahan," katanya.

ANTARA buah yang dipetik.
ANTARA buah yang dipetik.

Guru subjek Geografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan, Tumpat itu turut memanfaatkan ilmu penanaman yang dimilikinya itu di sekolah dengan menanam sebanyak sembilan pokok mangga harum manis yang juga dalam pasu sekali gus menarik perhatian pelajar.

Dia berkata, sebahagian daripada tanah yang terbiar dalam kawasan sekolah itu sudah pun ditanam dengan pelbagai sayur-sayuran untuk pembelajaran pelajar dari beberapa kelas akhir bagi mengelakkan mereka ponteng.

"Untuk tanaman pokok mangga harum manis ini pula bukan sahaja lebih menarik minat pelajar tapi juga termasuk ibu bapa dari kampung itu yang bertanyakan mengenai cara penanaman pokok buah berkenaan.

"Sebagai seorang yang mempunyai hobi bertani, saya tidak lokek untuk berkongsi ilmu supaya ia dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan golongan dan latar belakang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 6:45 AM