GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hasbi Sidek


LELAKI ditahan selepas menumbuk cermin kenderaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhampiran Bangunan Intermark di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

Kejadian berlaku jam 3.30 petang selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu pemandu peribadi Timbalan Perdana Menteri terbabit dalam kemalangan dengan van milik suspek.

Difahamkan, ketika kejadian Dr Wan Azizah tiada dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, suspek tidak berpuas hati kerana vannya dilanggar lalu bertindak menumbuk cermin hadapan MPV terbabit.

“Pemandu lelaki berusia 55 tahun itu secara tidak sengaja melanggar sebuah van Toyota Hiace milik suspek.

“Van yang dipandu lelaki berusia 42 tahun itu berada di sebelah kiri Toyota Alphard dan baru sahaja keluar dari simpang di lokasi kejadian sebelum berlaku kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu, pemandu van berang dan menurunkan cerminnya sebelum menumbuk cermin hadapan Toyota Alphard menyebabkan ia retak dengan nilai kerugian dianggarkan RM3,000.

“Susulan daripada kejadian, polis menahan pemandu van berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 10:53 PM