LAPORAN terdahulu
LAPORAN terdahulu
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Siasatan pihak berkuasa mendapati majikan yang didakwa mengabaikan kebajikan pekerja lelaki kematian isteri yang baru bersalin awal bulan lalu, tidak melanggar peraturan Ordinan Buruh Sabah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah yang melakukan siasatan itu selepas kes tular mendapati, pekerja terbabit diberi cuti paterniti selama dua hari untuk urusan berkaitan.

"Majikan juga membenarkan pekerja mengambil cuti tahunan sehingga urusan selesai dan menyatakan bahawa selepas enam hari kelahiran, pekerja itu datang bekerja serta memaklumkan kepada pengurusan syarikat bahawa isteri dan anaknya sihat.

"Bagaimanapun pada hari itu juga, apabila pulang dari kerja, pekerja terbabit mendapati isterinya meninggal dunia di samping anak yang baru dilahirkan. Majikan memaklumkan bantuan segera disalur termasuk membantu urusan di hospital selepas mengetahui kejadian itu ," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, siasatan JTK mendapati majikan ada memotong gaji pekerja itu selama 13 hari ketika tempoh berkabung kerana tidak menerima permohonan cuti tahunan.

"Namun, potongan itu sudah ditarik balik dan majikan akan membayar gaji penuh.

"Mengikut undang-undang, pekerja perlu bekerja genap setahun untuk melayakkan cuti tahunan tetapi atas nasihat JTK Sabah, majikan bersetuju memberi cuti bergaji selama pekerja itu tidak hadir bekerja," katanya.

Difahamkan, pemuda itu baru lima bulan berkhidmat dengan syarikat berkenaan selepas melapor diri pada 2 Disember 2022, malah dimaklumkan yang dia hanya menghadirkan diri selama tiga hari sepanjang Mei.

Katanya, JTK setakat ini belum dapat menemuramah pekerja terbabit kerana masih trauma dan meminta diberi masa.

Beliau memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menyalahkan mana-mana pihak, memandangkan siasatan mendapati majikan patuh pada peraturan.

Mustapha turut bersimpati dengan dengan nasib menimpa pekerja itu dan sudah mengarahkan JTK melaksana siasatan yang telus.

Mengenai peruntukan cuti bersalin bagi bapa atau paterniti, katanya peruntukan sebanyak tujuh hari yang dilaksanakan di Semenanjung, masih belum dikuatkuasakan di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 6:58 PM