PENGINAPAN pekerja yang menyedihkan di satu ladang penternakan ayam di Lendu, Alor Gajah.
PENGINAPAN pekerja yang menyedihkan di satu ladang penternakan ayam di Lendu, Alor Gajah.
Hassan Omar


TIDAK terurus, kotor dan menyedihkan, tetapi mereka tiada pilihan selain terpaksa menghuni rumah kongsi disediakan majikan.

Itulah istilah tepat menggambarkan penginapan pekerja ladang penternakan ayam daging di Lendu, Alor Gajah, yang diserbu pegawai dan anggota tiga agensi kerajaan diketuai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, hari ini.

Walaupun pekerja disediakan katil bertingkat oleh majikan terbabit, mereka tidak disediakan tilam dan almari, selain rumah kongsi didapati kurang bersih dengan pinggan mangkuk dan bahan untuk memasak ditempatkan dalam bilik tidur manakala dapur kotor dan peralatan sudah usang.

Berikutan keadaan menyedihkan itu, Pengarah JTK negeri, Rosli Jantan mengarahkan pegawainya mengeluarkan notis kepada pemilik syarikat berkenaan supaya segera mengambil tindakan bagi mengatasi keadaan berkenaan.

“Jika notis itu tidak dipatuhi, tindakan mendenda majikan terbabit akan diambil sebagai peringatan kepadanya dan majikan lain supaya mematuhi syarat penyediaan penginapan untuk pekerja.

“Selain notis itu, kami membuka enam kertas siasatan berikutan kesalahan dikesan mengikut Akta Kerja 1955,” katanya ketika ditemui pada Ops Ayam di ladang ayam berkenaan.

Selain 13 pegawai dan kakitangan JTK, operasi dijalankan di tiga ladang penternakan ayam daging itu turut disertai 22 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dan dua pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain dua ladang penternakan ayam di Lendu, satu ladang yang sama di Ayer Molek, Masjid Tanah turut diperiksa dalam operasi berkenaan.

Enam kesalahan dikesan iaitu majikan tidak menyediakan daftar butir peribadi pekerja, tidak menyediakan daftar syarat pekerja dan tidak memberikan satu salinan syarat pekerja kepada pekerja.

Kesalahan lain ialah majikan tidak memiliki permit potongan gaji daripada JTK, tidak memiliki kadar upah biasa bagi tujuan pengiraan dan tidak menyediakan butir mengenai upah dan elaun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 8:59 PM