MOTOSIKAL mangsa. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MOTOSIKAL mangsa. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


ANAK bongsu kepada Ketua Balai Polis Lukut, Sub Inspektor (SI) Zazali Tawil maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di di Kilometer 16 Jalan Seremban - Port Dickson, Port Dickson, semalam.

Pada kejadian 4.50 petang itu, mangsa, Mohamad Safwan Zazali, 21, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian, mangsa dari arah Seremban.

Beliau berkata, sebaik tiba, mangsa cuba memotong sebuah kereta lalu bertembung dengan lori satu tan dari arah bertentangan.

“Mangsa kemudian digilis sebuah kereta dari arah yang sama ke Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata, mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raja Jumaat di Lukut

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Zazali, 59, berkata, sebelum kejadian, anak bongsu dari lima beradik itu baru balik dari kolejnya di Seremban.

"Pagi tadi (semalam), arwah memaklumkan ada aktiviti memanjat bukit bersama rakan di sekitar Seremban.

“Dia memang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

"Kejadian ini benar-benar mengejutkan kami sekeluarga. Kami reda dan menerima ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui selepas pengebumian anaknya.

Turut hadir menziarah keluarga mangsa, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Aidi Sham.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 9:29 AM