JENAZAH Mohamad Taslim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23, Sungai Nibong. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
JENAZAH Mohamad Taslim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23, Sungai Nibong. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


JENAZAH pemandu Proton Satria, Mohamad Taslim Jamsari Mohamad, 31, yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 448, Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Buloh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23, Sungai Nibong, hari ini.

Mohamad Taslim adalah mangsa kelima meninggal dunia selepas empat keluarganya maut dalam kemalangan itu, semalam.

Jenazah tiba di rumah keluarganya di Parit 12, Sungai Nibong kira-kira 7 malam dan dibawa ke Surau Tanah Lesen untuk disembahyangkan, kira-kira 9 malam.

Jenazah dikebumikan berhampiran kubur ibunya, Ruzi Osman, 54, dan neneknya, Asiah Mat, 74.

Kira-kira 500 orang termasuk ahli keluarga dan sahabat menghadiri majlis pengebumian itu.

Kawan Allahyarham yang enggan dikenali berkata, jenazah selamat dikebumikan, 9.30 malam.

Katanya, pemergian anak kedua daripada empat beradik itu kehilangan besar sempena kedatangan tahun baru.

"Siapa sangka, seluruh ahli keluarga termasuk arwah pergi sekelip mata dan meninggalkan tiga lagi adik-beradik lain.

"Lutut terasa lemah dan dunia gelap seketika melihat kawan sepermainan sudah menjadi jenazah. Apapun, saya dan rakan lain tetap reda dengan apa yang berlaku sebab itu dah ditentukan Allah SWT,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Mohamad Taslim menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) sebelum meninggal dunia, 12.25 tengah hari tadi.

Berita berkaitan:

  • Pesanan terakhir sebelum ajal lima beranak
  • Mohamad Taslim disahkan meninggal
  • Tenanglah di sana...
  • Jalan licin punca kemalangan [METROTV]
  • Mangsa keempat pula meninggal
  • Tragedi kereta rosak
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 10:15 PM