KARIM Bujang ketika melawat Pekan Bongawan, Membakut. FOTO EDMUND SAMUNTING
KARIM Bujang ketika melawat Pekan Bongawan, Membakut. FOTO EDMUND SAMUNTING
Oleh Avila Geraldine dan Olivia Miwil


Membakut: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang masuk hari kelapan hari ini semakin rancak apabila calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN) mendekati pelanggan restoran dan pengunjung pasar di Pekan Bongawan, di sini.

Jentera kedua-dua parti juga dilihat berusaha menyampaikan mesej kepada penduduk mengapa perlu memilih calon WARISAN, Datuk Karim Bujang dan BN, Datuk Mohamad Alamin.

Karim ketika ditemui berkata, momentum kempennya semakin meningkat sejak beberapa hari lalu dengan jentera tetap bersemangat tinggi.

“Momentum kami seperti enjin sejuk, ia perlu dipanaskan pada pada mulanya supaya boleh berjalan. Sambutan daripada akar umbi sangat menggalakkan. Ke mana saja saya pergi, orang ramai ada di situ.

“Itu tandanya positif. Kita juga mempunyai kelebihan kerana rakan dari Pakatan Harapan (PH) turut membantu,” katanya.

Mengenai Kimanis, Karim berkata, kawasan itu masih kurang daripada segi pekerjaan biarpun Kimanis dikenali kerana sektor minyak dan gas.

Katanya, beliau akan memberi keutamaan kepada bidang pemprosesan hiliran dalam usaha untuk mewujudkan pekerjaan.

Biarpun sedar isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) dimainkan pembangkang berupaya memberi kesan terhadap kedudukannya dalam PRK itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan itu berkata, ia terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan.

“Ia (PSS) adalah salah satu penyelesaian. Ia lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa (untuk selesaikan isu pendatang asing tanpa izin). Kehadiran lebih setengah juta pendatang asing bukan disebabkan kerajaan WARISAN yang baharu berusia 19 bulan.

“Kehadiran Datuk Seri Anifah Aman (bekas Ahli Parlimen Kimanis) untuk membantu BN juga tidak mengganggu saya. Lagi pun, saya veteran politik dalam BN sejak sekian lama dan saya kenal mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, memenangi PRK itu tidak akan mengubah kerajaan, sebaliknya untuk menghantar pungutan suara.

“Saya sudah keluar masuk kampung banyak kali dan penduduk setuju untuk menjadikan pilihan raya ini sebagai rujukan. Kami mahu beri mesej kepada kerajaan bahawa rakyat marah dan merana. Banyak bantuan dikurangkan dan dihentikan.

“PSS bukan isu retorik tetapi realiti kerana orang bercakap mengenainya. Justeru, kita mesti sampaikan bantahan dengan memenangi kerusi ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad memberitahu, mereka akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat di Kimanis dan Sabah secara amnya termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 3:59 PM