SARIPAH (tengah) memotong kek sambil diperhatikan Pkaruddin di SMK Seri Pagi, Senawang, Seremban, hari ini. FOTO Mohd Khidir  Zakaria.
SARIPAH (tengah) memotong kek sambil diperhatikan Pkaruddin di SMK Seri Pagi, Senawang, Seremban, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


PEMERGIANNYA diratapi ramai ibu bapa termasuk pelajar yang mesra memanggilnya sebagai ‘ibu’.

Situasi itu dirasai apabila Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pagi, Senawang, Seremban, Saripah Mohd Nor, 58, bersara wajib dan meninggalkan sekolah berkenaan, hari ini.

Saripah yang berkhidmat selama 34 tahun enam bulan memilih untuk bersara wajib sebelum diraikan pada Majlis Lambaian Kasih sempena persaraannya yang diadakan di Dewan Al Masyhur di SMK Seri Pagi.

“Saya memang rapat dengan ibu bapa terutama yang aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah. Bagi saya lebih mudah bekerjasama dengan ibu bapa untuk menaikkan mutu pelajaran anak.

“Pelajar sekolah pun lebih selesa memanggil saya 'ibu' berbanding cikgu kerana saya menganggap mereka sebagai anak saya.

“Itulah rahsia bagaimana saya merapatkan hubungan bersama ibu bapa dan pelajar saya,” kata Saripah.

Menurutnya, setiap guru harus memainkan peranan supaya hubungan baik bersama ibu bapa dapat dikekalkan demi kemajuan pelajar.

“Kita semua saling perlu memerlukan dan kalau boleh hubungan ini sentiasa erat seperti zaman kita bersekolah dahulu, anak cukup takut kalau cikgu jumpa dengan ibu bapa mereka berbanding sekarang.

“Budaya itu saya bawa ke sekolah, tetapi saya cuba perbaiki dengan menjadikan anak lebih selesa dengan cikgu, tidak timbul rasa takut dan kita sebagai guru adalah tempat mengadu," kata nenek kepada enam cucu itu.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkaruddin Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:34 PM