KEADAAN mangsa yang terperosok di bawah kereta berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN mangsa yang terperosok di bawah kereta berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI Myanmar maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kilometer 51.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Pendang, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 20-an meninggal dunia di lokasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 1.19 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang tiba di lokasi pada 1.32 pagi.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Zaidi Md Zuki bersama 11 anggota dan dua jentera.

“Setibanya di lokasi, kita dapati dua motosikal berlanggar. Ia menyebabkan seorang lelaki warga Myanmar tercampak lalu terperosok di bawah Proton Persona yang dipandu seorang wanita berusia 30-an,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kereta.

Bagaimanapun, pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 2.14 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 8:54 AM