Keadaan surau di Kampung Bohor, Kepala Batas yang terbakar hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Keadaan surau di Kampung Bohor, Kepala Batas yang terbakar hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


SURAU satu tingkat di Kampung Bohor, Kepala Batas, Alor Setar hampir musnah dalam kebakaran 7 pagi tadi.

Kebakaran itu dipadamkan dengan bantuan orang ramai sebelum pasukan bomba tiba tidak lama kemudian.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 7.13 pagi berhubung kebakaran surau itu.

Beliau berkata, anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Anuar Abd Hamid tiba di lokasi 7.26 pagi.

“Operasi disertai enam anggota dan dua jentera termasuk sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Alor Setar.

“Sebaik tiba di lokasi, api berjaya dipadamkan dengan bantuan orang awam dan membabitkan kemusnahan 70 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

Beliau berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 1:19 PM