KEADAAN Perodua Alza. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN Perodua Alza. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI di Alor Setar cedera selepas Toyota Estima dipandunya berlanggar dengan sebuah Perodua Alza yang pemandunya dipercayai mabuk.

Kejadian berlaku 7 pagi tadi berhampiran lampu isyarat Jalan Gangsa.

Kemalangan itu mengakibatkan kereta Perodua Alza itu terbalik dengan keempat-empat tayar di atas selepas dipercayai merempuh bahagian kanan kenderaan Toyota Estima terbabit.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 7.03 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Basri Othman tiba di lokasi, jam 7.08 pagi.

“Operasi disertai 10 anggota bersama dua jentera dan sebuah motosikal.

“Setibanya di lokasi, didapati pemandu kenderaan Toyota Estima itu mengalami kecederaan dan pening sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan bagaimanapun berkata, pemandu Perodua Alza berusia 27 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipercayai mabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 8:52 AM