LIEW Vui Keong. FOTO arkib NSTP
LIEW Vui Keong. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

DUA Mahkamah Sesyen baharu akan dibuka, satu di Semenyih, Selangor dan satu lagi di Langkawi, Kedah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, kedua-dua mahkamah itu ditubuhkan bagi menjimatkan masa dan kos pihak-pihak yang memerlukan bantuan kehakiman di Mahkamah Sesyen di samping memastikan hak akses mereka kepada keadilan.

Dalam satu kenyataan, Liew berkata, di Semenyih, Mahkamah Sesyen Khas ditubuhkan untuk memudahkan hak akses kepada keadilan bagi warga asing yang ditahan di Malaysia atas tuduhan yang berkaitan dengan imigresen manakala Mahkamah Sesyen di Langkawi pula akan mendengar kes sivil serta jenayah.

“Ia akan mempercepatkan pelupusan kes-kes ini, mencegah tunggakan kes dan memendekkan tempoh penahanan dalam tahanan imigresen sementara menunggu perbicaraan.

“Sebelum ini, Mahkamah Sesyen yang terdekat dengan Langkawi terletak di Alor Setar, iaitu perjalanan selama dua jam melalui jalan laut,” katanya sambil menambah ia juga akan diperluaskan ke negeri-negeri lain dalam masa yang terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 10:49 PM