Rina Harun hadir pada program MyKasih Kapital di Hotel Perdana di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rina Harun hadir pada program MyKasih Kapital di Hotel Perdana di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia membantu mangsa buli pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan ahli keluarganya untuk diberi kaunseling.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya mempunyai lembaga kaunselor dan juga kaunselor di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tujuan itu.

Katanya, kementeriannya terbuka dan sekiranya mereka memerlukan bimbingan dari segi psikososial, pihaknya sedia untuk membantu.

"Sudah pasti ia membabitkan golongan kanak-kanak dan isu buli ini saya kira kementerian yang sewajarnya juga (perlu selesaikan).

"Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan kementerian yang lain untuk menyelesaikan isu buli. Ini kerana isu buli banyak berlaku di sekolah.

"Pada masa yang sama, kita tengok subjek ini berlaku di mana. Kes ini berlaku di sekolah, sudah pasti pengawasan dan tindakan perlu diambil oleh pihak sekolah untuk mengawasi supaya perkara ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan," katanya selepas Program MyKasih Kapital di Hotel Perdana di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi.

Rina memberi reaksi itu bagi mengulas kejadian buli pelajar MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar yang tular di media sosial baru-baru ini, membabitkan pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.

Dalam pada itu, Rina berkata, terdapat juga kaunselor di sekolah yang akan memberi kaunseling kepada mangsa.

"Kita tidak mahu kes buli ini menjadi satu tradisi. Disebabkan (kita) pernah menjadi mangsa buli, jadi kita tidak mahu dia buli yang lain.

"Pihak kita nak wujudkan dari segi kasih sayang termasuk sebagai satu aspirasi Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 8:04 PM