LEE Kim Shin. FOTO arkib NSTP
LEE Kim Shin. FOTO arkib NSTP
Kandau Sidi


Program Penambahbaikan Rumah Miskin yang dilaksanakan di Sarawak tahun lalu menyaksikan sebanyak 148 rumah di kawasan Tudan di Miri dibaiki.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin, Datuk Lee Kim Shin berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan kualiti hidup penghuninya lebih baik.

Beliau berkata, setiap kerja pembaikan rumah itu pada masa akan datang akan dipantau untuk memastikan ia dilaksanakan mengikut standard yang diperlukan.

“Semua projek yang dilaksanakan itu diletakkan di bawah projek kecil luar bandar (MRP) kerajaan negeri.

"Penerima berdaftar terdiri daripada penduduk kategori B40 Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya ketika lawatan ke beberapa rumah di bawah projek itu, di sini, semalam.

Kim Shin berkata, pemilihan rumah yang akan dibaiki adalah berdasarkan keadaan rumah yang dihuni pemiliknya.

Beliau berkata, keutamaan diberikan terhadap rumah yang mengalami kerosakan serius dan kelihatan usang.

Katanya, penetapan kerja pembaikan akan dibuat oleh jurutera profesional dari Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Projek pembaikan rumah yang akan dilakukan termasuk kerja menggantikan bumbung, membaiki dinding rumah, tangga, lantai dan mengecat semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 4:58 PM