KEADAAN Toyota Hilux yang merempuh tiang kedai makan di kaki Gunung Jerai, semalam sehingga menyebabkan tiga mangsa cedera. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN Toyota Hilux yang merempuh tiang kedai makan di kaki Gunung Jerai, semalam sehingga menyebabkan tiga mangsa cedera. FOTO ihsan pembaca.
Nor Farhani Che Ad


PENIAGA tergamam apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang sedang menuruni laluan gunung merempuh tiang bangunan kedai makannya di kaki Gunung Jerai, Yan, petang semalam.

Dalam kejadian 6.15 petang, Nurul Husna Noorzan, 27, yang berada di dalam kedai menyedari beberapa kenderaan berhenti di depan kedainya ketika dalam perjalanan menaiki gunung itu.

“Saya nampak ada sebuah kenderaan dinaiki satu keluarga sedang menuruni gunung dengan keadaan laju.

“Apabila sampai di depan kedai, kereta itu terus masuk ke kawasan parkir sebelum merempuh tiang kedai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Husna berkata, dia serta beberapa orang awam cuba membantu enam mangsa yang berada di dalam kenderaan terbabit.

Menurutnya, seorang lelaki warga emas tersepit di tempat duduk penumpang hadapan menyebabkan mereka menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan.

Katanya, ini adalah kali pertama kenderaan besar terbabas masuk ke kawasan kedainya dan sebelum ini hanya membabitkan motosikal serta basikal sahaja.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.28 petang sebelum empat anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika tiba, anggota kami mendapati terdapat dua mangsa berusia 42 dan 82 tahun cedera di kaki dan tangan.

“Difahamkan seorang mangsa wanita yang parah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum anggota tiba,” katanya.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 11:52 AM