Helmy Abd Rahman


Kuala Terengganu: Dua daripada 13 mangsa kemalangan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Merchang semalam, meningggal dunia hari ini.

Mangsa yang maut adalah pemandu Toyota Wish, Noor Amalia Noorzan, 34, dan suaminya yang juga penumpang hadapan, Badrulhisham Omar, 41.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, suami isteri yang bertugas sebagai guru di Kemaman itu meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Noor Amalia meninggal dunia 12.35 tengah malam tadi manakala suaminya pula 6.16 pagi tadi.

"Tiga anak pasangan iaitu Darwish, 4; Diyani, 7; dan Danish, 11, turut mengalami kecederaan di kepala dan dalam perut manakala seorang lagi, Damia, 9, hanya cedera dan dirawat di hospital sama," katanya, hari ini.

Semalam, 13 individu termasuk empat kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 41 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, di Kampung Merchang, Marang.

Menurut Abd Razak, kejadian dipercayai berlaku pada 6.25 petang ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Hyundai.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan maut membabitkan pasangan guru terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, enam mangsa yang menaiki Hyundai turut parah manakala pemandunya cedera.

Mangsa meninggal dunia

• Noor Amalia Noorzan, 34.

• Badrulhisham Omar, 41.

Mangsa cedera

• Danish Badrulhisham, 11.

• Damia Badrulhisham, 9.

• Diyani Badrulhisham, 7.

• Darwish Badrulhisham, 4.

• Zulkahar Ismail, 52 (pemandu Hyundai).

• Munira Nordin, 49.

• Intan Zubati Zulkahar, 21.

• Ierman Putra Zulkahar, 20.

• Ierman Rifqi Idraki Zulkahar, 7.

• Nur Farisha Haida Md Fadzil, 20.

• Muhammad Najhan Zainuddin, 21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 1:55 PM