NURUL Faizatul Akmal (kanan) bersama adiknya, Nurul Sahana, bergilir-gilir menjaga ibu mereka, Hafsah Ismail. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NURUL Faizatul Akmal (kanan) bersama adiknya, Nurul Sahana, bergilir-gilir menjaga ibu mereka, Hafsah Ismail. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


DUA beradik dari Kampung Galang, Pulai Chondong, di Machang, terpaksa mengharapkan belas ihsan orang lain apabila ibu yang menjadi tempat mereka bergantung kini terlantar akibat kanser paru-paru tahap empat.

Menurut Nurul Faizatul Akmal Shukri, 16, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad berkata, ibunya, Hafsah Ismail, 55, disahkan menghidap kanser pada Disember tahun lalu sekali gus menyebabkan dia dan adiknya, Nurul Sahana, 13, perlu bergilir-gilir menjaga ‘syurga' mereka yang memerlukan perhatian.

“Pada Oktober tahun lalu, ibu hanya mengalami bengkak di bahagian betis sebelah kanan dan dua minggu kemudian betis sebelah kiri pula sehingga menyukarkannya untuk bergerak sebelum dirujuk ke Hospital Machang.

“Doktor yang merawat ibu pada ketika itu memberitahu masalah bengkak ini berpunca daripada saluran peredaran darah.

“Bagaimanapun, selang beberapa hari selepas itu, kesihatan ibu semakin hari semakin merosot selain hilang selera makan dan sebelah kiri badannya juga menjadi kaku. Melalui ujian yang dilakukan, mengesahkan ibu menghidap penyakit kanser tahap empat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Terdahulu, keluarga berkenaan dikunjungi wakil Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) diketuai Ketua Unit Komunikasi dan Media, Akidi Hamid.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, sejak ibu bapanya bercerai lebih 10 tahun lalu, ibunya menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

“Pelbagai pekerjaan dilakukan oleh ibu termasuklah mengambil upah mengasuh, menjual ais krim dan bekerja di kedai runcit dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.

“Namun kini, ibu terlantar lesu di atas tilam dan tidak boleh melakukan apa-apa disebabkan penyakit kanser yang dideritai menyebabkan kami sekeluarga bergantung kepada sumbangan wang zakat yang diberikan oleh jiran selain kenalan ibu yang datang menziarahinya.

“Pada setiap bulan saya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM150 untuk membeli keperluan ibu dan ada kalanya, ibu bapa kepada anak yang diasuh oleh ibu sebelum ini turut membantu membeli lampin pakai buang.

“Mujurlah saya dan adik mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan setiap seorang yang sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan persekolahan kami,” katanya yang menumpang berteduh di rumah milik bapa saudaranya.

Nurul Faizatul Akmal berkata, memandangkan sesi persekolahan sudah bermula, dia terpaksa meminta bantuan daripada ibu saudaranya, Rosiah Ismail, 53, yang tinggal berhampiran untuk menjenguk ibunya di rumah sementara berada di sekolah.

“Bagi menguruskan ibu termasuk memberi makan, minum, menukar lampin pakai buang dan mengelap badannya, saya akan bangun seawal 4 pagi sebelum ke sekolah.

“Walaupun terpaksa ke sekolah untuk menuntut ilmu dengan rasa berat hati, namun pesanan ibu menjadi pembakar semangat untuk saya terus gagah melangkah serta mencapai cita-cita berjaya sehingga ke menara gading bagi mengubah nasib keluarga,” katanya yang sentiasa berdoa dan berharap ibunya pulih kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 9:55 AM